peminatpengikut..

tentang saya

My photo
afiqsahidi.dua puluh satu.UMT.suka dan cinta matematik.suka menulis.tempat ini untuk luahan rasa. tempat ini untuk orang aman sahaja. tempat ini untuk sesiapa sahaja yang suka membaca.jika tidak suka tidak perlu baca.selamat semuanya.

Wednesday, May 16, 2012

Menulis Untuk Peringatan Diri

Assalamualaikum dan Selamat Pagi. Jam 2.08 pagi. 16 Mei 2012.

Saya tidak tahu kenapa tiba-tiba terpanggil untuk menulis pada waktu ini. Sebelum kata mengorak langkah, ucapan buat guru-guru seluruh dunia. Selamat Hari Guru. Jasa pengorbanan seorang guru sememangnya dalam mendidik anak bangsa. Semoga semua guru di dunia mendapat manfaat di akhirat kelak.

Sejak kebelakangan ini, hati cepat rapuh. Fikiran kerap melayang. Hati rasa semakin berat. Menghitung hari-hari terakhir sebagai seorang penyerap ilmu. Sejauh mana aku sudah bersedia untuk menempuh alam yang lebih luas di luar sana. Perasaan tanda tanya, risau, dan persoalan demi persoalan mula timbul. Tiada siapa mampu mencorakkan kehidupan akan datang. Yang tahu hanya Allah. Namun, ia tetap bersandarkan ke atas diri sendiri. Jangan burukkan dinding kehidupan dengan lakaran hitam tidak bermaya. Cuba hiasi dinding tersebut dengan abstrak pelangi yang cantik untuk disematkan sepanjang hayat.

Tanggal 17 Jun, kaki bakal melangkah ke dewan perhitungan buat kali terakhir. Bila difikirkan kembali, sejauh mana ilmu aku pelajari mampu membuka peluang baru diluar sana. Adakah aku hanya berpandangan pendek semata-mata ilmu dicurahkan seketika ke atas kertas di depan mata. Atau aku memang sudah sebati dengan ilmu itu untuk dicurahkan kepada anak-anak pertiwi di luar sana. Renungkan sekalian.

Sepanjang perjalanan berliku, ada pasang surut, ada putih dan gelap, ada suka dan tawa, ada derita dan sengsara. Mengeluh biarkan ianya pergi, mengalah jangan pernah sekali. Aku kuat, aku semangat. Kerap kali aku patah dengan hati, namun aku tetap teguh berdiri. Namun kadang-kala kelopak mata sentiasa kabur berwarna, tetapi jiwa dan hati masih diulik rasa cinta pada yang maha Esa. 

Dua tahun aku merangkak, enam tahun aku bertatih, lima tahun aku berjalan, dua tahun aku berlari dan kini masa untuk aku memecut meneroka segala ilmu yang perlu untuk aku pelajari. Sesungguhnya, setakat sedekad lebih meneroka, aku percaya, masih ada berjuta yang perlu aku kutip diluar nanti. Jangan pernah berhenti. Biar ia terhenti satu hari nanti. Kerana ketika itu, segalanya telah dihitung kembali.

Aku keseorangan. Aku hanya ada ibu dan bapa. Syukur, aku masih bertuah. Aku ada saudara mara. Sumbangan mereka tidak terhitung. Penuh segelas cawan, tidak pernah kosong walaupun aku minum setiap hari. Cinta aku buat mereka tidak pernah berbelah bahagi, walau tidak pernah ungkap, walau tidak pernah ucap.

Sahabat, bukan mudah untuk lupakan. Biar apa orang kata, biar beribu tohmahan melanda. Aku percaya, aku ada mereka jua. Setiap saat tidak pernah leka, masing-masing punya cerita gembira. Indah waktu bermain bersama duduk bergurau senda. Tapi, bila ada yang tersungkur, masing-masing melebarkan niat di hati. Dari senipis benang jeans ranggi hingga lah setebal permaidani milik Raja Turki. Bila ada yang terluka berdarah, tidak ada yang biarkan ia menjadi parah. Malah akan ada pengubat hingga hilang parut tercalar. Bila ada yang menitis, pasti ada yang cuba untuk menadah sehingga tidak tiris walau setitik pun. Kerana mereka tahu, jika seorang itu pasrah, itu tanda menyerah.

Aku harus percaya. Aku harus sedar. Aku tidak ketinggalan. Dan aku tidak terlalu kehadapan. Biar kaki bergerak selangkah, biar jiwa tersemat searah, biar hati tetap pada Illahi. Agar hidup akan lebih diberkati, dirahmati hingga akhir nanti. 

p/s aku bermonolog sendiri. kerana aku tahu, ini salah satu cara untuk mengekspreskan diri. 

Sekian. Jangan tidur lagi, kerana kerja sedang menanti. 
Assalamualaikum

2 comments:

  1. semoga berjaya dunia akhirat:)

    ReplyDelete
  2. saya suka baca entry abg..ayat yang sangat sempoi tapi bermakan!

    ReplyDelete